Kampung Pantai Bidara sunyi sepi. Dinihari masih lagi kelam dan dingin. Anak berusia lima tahun itu sudah pun turun ke tanah. Ayam jantan masih lagi giat berkokok. Sedang sang rembulan baru terasa mengantuk. Awanan berarak perlahan, bermalas-malasan. Udara pagi yang nyaman itu dihirup semahunya. Bayu pagi yang bertiup sepoi-sepoi bahasa asyik menyapa rambut lurusnya yang mencecah bahu. Dia memandang ke arah pantai yang terbentang luas nun beberapa langkah dari rumahnya. Humaira menarik nafas sambil mendepakan tangannya dan dihembuskan nafasnya perlahan-lahan. Dia tersenyum puas kerana dapat menikmati udara pagi yang menyegarkan itu. Lain kali nak bangun awal lagi lah, bisik hati kecilnya.
Usai solat subuh dan bermunajat kepada Ilahi, Kak Leha memandang jam dinding yang setia berdetik di dinding rumahnya. Erm, dah pukul 6.30, ujarnya di dalam hati. Kain telekung dilipat. Dia harus segera ke dapur. Sarapan pagi harus disediakan supaya anak tunggal dan suaminya yang tersayang dapat mengalas perut. Sekejap lagi suaminya, Abang Mud akan pulang dari surau. Kemudian, Abang Mud akan bersiap-siap pula untuk ke tempat kerjanya di Bandar Panglima sejauh 30 km dari rumah mereka. Abang Mud seorang kerani di pejabat pendaftaran. Sebab itu Kak Leha harus cepat supaya Abang Mud sempat mencicip air tangannya. Dia terus ke dapur. Air yang dijerang sebelum solat tadi dituang ke dalam teko untuk membancuh Milo. Kemudian tangannya ligat menggoreng nasi yang telah disediakan bahan-bahannya malam tadi.
Abang Mud memberhentikan motor di depan tangga rumah. Humaira yang sedang berteleku di hujung tangga terus mengukir senyum saat melihat wajah ayah tersayang.
“Assalamualaikum..awalnya anak Abi bangun hari ni.”
“Waalaikumussalam, Abi..erm, Mai nak tolong Ummi jemur ikan hari ni.”
“Bagusnya anak Abi. Tapi kan Mai dah solat ke belum?” Tanya Abang Mud kepada satu-satunya buah hati pengarang jantungnya itu.
“Ala Abi ni, kan Subuh Mai pukul 8.” Ujar Humaira sambil tersengih. Menampakkan susunan giginya yang putih bersih.
“Ish, Ish kalau bangun awal kenala solat awal. Tak baik tau. Nanti Allah marah.” Kata Abang Mud sambil tersenyum. Dia bukannya apa, cuma mahu mendidik anaknya yang satu itu dari rebungnya lagi supaya nanti Humaira menjadi seorang anak yang solehah.
Siapa pula yang bercakap pagi-pagi ni kat depan rumah aku, ujar Kak Leha dalam hati. Dijenguknya ke pintu. Daun pintu depannya ternganga luas. Terkejut dia. Ya Allah, bila masa pula aku buka pintu ni, omel Kak Leha sendirian. Bergegas dia ke muka pintu.
“ Eh, Abang dan balik. Aik, Mai, Ummi ingat Mai tengah tidur. Kenapa tak bagitau Ummi, Mai dah bangun.”
“ Macam mana Mai nak bagitau, Ummi tengah solat tadi.“ ujar Humaira.
“ Ye lah, Lain kali jangan buat macam tu lagi. Bahaya puteri cantik keluar sorang-sorang waktu sunyi macam ni.” Nasihat Kak Leha sambil mengusik Humaira.
“ Mai minta maaf Ummi. Nanti Mai tak buat lagi.” ujar Humaira sambil mengangkat tangannya seperti sedang melafazkan ikrar.
Saat matahari menegak di atas kepala, jejari runcing Kak Leha sibuk menyusun ikan-ikan yang ikan masin. Sudah hampir dua tahun dia mengusahakan perusaahan memproses ikan masin di kampungnya. Ikan-ikan itu diambil dari Dollah Nelayan yang menjadi pembekalnya. Dia bersyukur kerana ikan-ikannya mendapat sambutan yang hangat di kampungnya dan juga kampung-kampung yang berdekatan dan sekarang dia mendapat tempahan dari bandar dan daerah lain. Kata mereka ikan-ikan masinnya berbeza dari ikan-ikan masin lain. Ikannya secukup rasa kata pelanggan-pelanggannya, tidak terlalu masin dan tidak pula tawar. Entahlah, baginya biasa saja. Kerana tidak mampu menguruskan perniagaannya itu sendiri, Kak Leha mengambil empat orang pembantu.
“ Ummi, Mai nak tolong, boleh?” Tanya Humaira.
“ Boleh, tapi kalau kulit Mai gelap macam Ummi nanti, jangan salahkan Ummi tau.” Ujar Kak Leha berseloroh.
“ Yea, Yea !!. Humaira bersorak keriangan. Melompat-lompat dia. Kak Leha hanya tersenyum melihat gelagat penawar hatinya itu. Inilah kali pertama Kak Leha membenarkannya untuk menolong. Kalau sebelum ini bermacam alasan diberikan. Nanti tangan kotor la. Nanti tangan kena tulang ikan la.
“ Pergi cuci tangan dengan Kak Lina dulu, cuci bersih bersih tau. Lepas tu pakai sarung tangan. ” Arah Kak Leha sambil menghadiahkan senyuman manis kepada anaknya dan salah seorang pembantunya, Lina.
Suasana pagi Sabtu ini amat mendamaikan nurani, sang beburung girang bersiulan menyanyikan lagu alam. Terasa terlepas sementara segala bebanan kerja yang ditanggungnya di pejabat. Hujung minggu beginilah kesempatan buat keluarga ini untuk bersantai setelah penat bekerja. Abang Mud bercadang untuk membawa anak dan isterinya ke bandar. Beli kelengkapan rumah dan juga kelengkapan sekolah Humaira. Sekarang sudah pertengahan bulan 12. Lagi dua minggu Humaira dah boleh masuk sekolah tadika.
“ Abi, kita nak gi bandar buat apa?” soal Humaira.
“Beli baju sekolah Mai la. Tahun depan Mai dah besar, dah boleh sekolah tau.”
“ ooo, bestnya.” Ujar Humaira, mengangguk-angguk.
Keadaan bandar agak sesak. Maklumlah hujung minggu. Masing-masing sibuk mengambil kesempatan untuk membawa keluarga membeli belah. Abang Mud terpaksa berpusing-pusing beberapa kali untuk mendapatkan tempat letak kereta.
Mereka singgah ke sebuah pasaraya untuk membeli uniform sekolah Humaira. Mata Humaira melilau-lilau kesana kemari. Dilihatnya banyak pakaian bergantungan. Ada kasut, seluar, baju. Eh, matanya terpaku di situ. Matanya yang bundar tidak berkelip-kelip. Ditatapnya baju itu dengan wajah penuh teruja. Lama sekali dia berkeadaan begitu. Cantiknya baju yang ada gambar Doraemon tu, ujarnya di dalam hati. Dia membelek belek sepasang baju t-shirt berlengan panjang dan berseluar itu. Ada rama-rama kecil berwarna-warni yang menghiasi baju yang berwarna biru laut itu. Watak kartun Doreamon dan kawan-kawannya yang diminati Humaira terpampang di bahagian belakang baju itu. Indah. Sepersalinan yang cukup pakejnya untuk menarik minat seorang kanak-kanak berusia lima tahun sepertinya. Seronoknya kalau dapat beli baju ni, warna dia biru, macam warna air laut, kalau Mai beli bolehlah pakai nanti pergi rumah Tok Wan, bisiknya dalam hati.
“ Kak, baju ni berapa ringgit?” Spontan dia bertanya kepada pekerja pasaraya itu dengan penuh minat.
“ RM50 dik. Adik nak beli ke?”
“ Hehe, takpe lah.”ujar Humaira. Dia terus berlalu menuju kearah Ummi dan Abi nya yang mengawasinya tidak jauh dari situ. Dia tidak mahu meminta supaya dibelikan baju itu kerana dia tidak mahu menyusahkan Ummi dan Abi. Tapi dia sangat menyukai baju itu. Nanti Mai nak kumpul duit sendiri lah, supaya dapat beli baju tu, dia berbicara sendiri sambil akalnya berputar ligat memikirkan cara untuk mengumpul duit.
Sekali lagi senja bertamu menghiasi bergerakan alam maya ini. Matahari kian beransur mencondong ke barat. Burung-burung yang girang berterbangan mencari rezeki mula menuju ke jalan pulang. Sinar cahaya bertukar jingga. Humaira bagaikan terpesona pada lukisan alam yang terlakar indah. Di kejauhan dia memerhatikan ummi dan pembantu-pembantunya mengangkat ikan-ikan masin yang kelihatan sudah mengering. Cakera memorinya masih berputar laju memikirkan baju Doraemon yang dilihatnya di pasaraya semalam. Lantas layar angannya seolah-olah melihat baju itu melambai-lambai mesra ke arahnya. Tapi, macam mana nak dapat duit. Fikir Humaira sendiri. Diperhatikan sekelilingnya seolah-olah mencari inspirasi. Dilihatnya ada banyak botol-botol kaca yang disusun rapi oleh Abi dan Umminya di tepi rumah.
“ Mestilah boleh. Botol-botol tu nanti akan dikitar semula tau. Biasanya 20 sen bagi satu botol kaca tu Mai. Kenapa ni?”soal Kak Leha kembali. Hairan dia dengan sikap Humaira. Sebelum ini, Humaira tidak pernah berfikir dan peduli pun tentang botol-botol itu.
“ Yelah, kalau tak jual pun, botol tu terbiar je kat situ.” Dalih Humairaa. Masih mahu berahsia.
“ Nanti Ummi tolong jualkan untuk Mai boleh?”
“ Ye lah sayang. Nanti esok Ummi jualkan. Sekarang dah gelap, jomlah kita naik.”
“ Yeaa!!” Humaira melompat girang. Dia dapat membayangkan yang baju itu tidak lama lagi akan menjadi miliknya.
Hari ini hari pertama Humaira ke sekolah. Pagi-pagi lagi Humaira sudah bangun bersiap. Abang Mud dan Kak Leha tersenyum bangga. Besar sudah anak mereka rupanya. Melihat Humaira begitu mudah untuk disuruh ke sekolah, hati Kak Leha berbunga riang. Terasa sejuk perutnya mengandungkan Humaira. Terasa berkurang deritanya menahan sakit pening sewaktu sakit bersalin dan berpantang. Dia bersyukur yang teramat sangat. Tanpa disedari kelopak matanya bergenang dengan air mata gembira. Dibantunya Humaira bersiap, Uniform berwarna biru itu amat manis di tubuh kecil molek Humaira. Ditocangnya rambut Humaira agar anaknya itu kelihatan lebih kemas.
“ Ok, Tuan Puteri. Sudah siap. Masa pergi sekolah Abi yang hantarkan Mai tau. Nanti balik, Ummi yang jemput. Mai tunggu je kalau Ummi lambat sikit. Jangan ikut orang yang…”
“ Tak dikenali.” Sambung Humaira. Ayat itu sangat dihafalnya. Dan kerana sepotong ayat itulah dia dapat mengerti yang umminya itu amat mengambil berat tentangnya. “ Ok,lah Ummi, Mai pergi dulu, jangan lupa jualkan botol-botol tu untuk Mai.” Kata Humaira sambil tersenyum. Kemudian disalami tangan Umminya, dikucup lembut tangan, kedua belah pipi serta dahi Umminya.
Kak Leha menyambut huluran wang hasil jualan botol-botol daripada Tauke Lee. Not RM10 itu bertukar tangan. Dia berharap humaira akan suka dengan hasil jualan ini.
“ Assalamualikum, Leha.”
Kak Leha segera menoleh ke arah suara itu. Suara yang amat dirinduinya.
“Waalaikumussalam. Mak..!. Mak sihat ke? Kenapa datang tak bagitau dulu. Leha belum masak apa-apa lagi mak.” Ujar Kak Leha sambil memeluk dan mencium tangan ibunya, Mak Senah.
“ Mak sihat. Mak bukan merancang nak datang pun, kebetulan si Husin tu nak balik rumah bini muda dia dekat bandar tu hari ni, jadi mak tumpang je lah.”jelas Mak Senah.
“ Eh, dah berbini muda dia ye mak.”
“ A’a, rezeki dia la tu. Si Humaira nya mana. Mak tak nampak pun dia. Biasanya kalau mak datang tercongok je dia kat depan pintu ni. Ni ha mak bawa buah rambutan kesukaan dia.” Kata Mak senah.
“ Hari ni dia mula bersekolah tadika mak. Jom la naik mak, Leha buatkan air.
“ Ye lah.”
Tengah hari itu, Kak Leha pergi menjemput Humaira di tadika. Bersorak anak itu bila diberitahu yang Tok Wan nya ada di rumah. Mereka berdua memang rapat memandangkan Mak Senah itulah neneknya. Datuknya sudah lama tiada. Apa lagi Abang Mud seorang anak yatim piatu sejak kecil lagi. Sibuk Humaira menyuruh Kak Leha memecut motor yang dipandunya supaya cepat sampai ke rumah.
“ Tok Wan..!” teriak Humaira setelah masuk ke rumah.
Mak Senah senyum.
“ Dah besar ye cucu Tok Wan ni.” Dipeluknya erat tubuh kecil kesayangannya itu.
“ Ni ha hadiah dari Tok Wan.” Kata Mak Senah sambil menghulurkan not RM50. Terkesima Humaira seketika. Terus bayangan baju Doraemon itu menjelma lagi di indera lihatnya. Hem, duit ni dah cukup untuk beli baju tu. Yang duit jual botol ni biar Mai simpan je lah dulu. Getus hatinya.
“ Terima Kasih, Tok Wan.”
“ Sama-sama.”
Malam itu, sewaktu mereka sekeluarga sedang menonton tv, Humaira menyuarakan hasratnya. Dihulurkan not RM50 pemberian Tok Wannya kepada Abang Mud. Kak Leha dan Mak Senah tersentak. Apatah lagi Abang Mud sendiri. Humaira tidak pernah begini. Biasanya dia seorang anak yang suka berterus terang. Tapi kali ini dia lebih rela memendamkan perasaan demi tidak mahu menyusahkan abi dan umminya. Abang Mud merangkul Humaira. Air mata lelakinya yang sekian lama tidak dilanda tengkujuh, tidak dapat dibendung lagi buat kali ini. Disambut jua huluran Humaira demi tidak mengecewakan anak kecil itu. Kak Leha pula seolah-olah baru tersedar kenapa Humaira memintanya menjualkan botol-botol kaca itu. Kalaulah Humaira memberitahunya di pasar raya tempoh hari, dia sudah pasti membelinya untuk Humaira. Dia tidak kisah kalau benda-benda berfaedah yang dipinta Humaira.
Kak Leha bersiap-siap untuk ke pasar. Hari ini dia mahu memasak sesuatu yang istimewa kerana Mak Senah ada di rumah, disamping mahu meraikan persekolahan Humaira. Urusan kilang diserahkan seketika kepada pembantu-pembantunya. Mak Senah pula awal-awal lagi turun ke kilang. Mahu meninjau-ninjau katanya. Dicapainya kunci motor di atas meja. Dilihatnya, telefon bimbit Abang Mud ada di situ. Tertinggal la tu, getus hatinya.
Kak Leha tersenyum puas. Dipandangnya lauk yang dimasaknya hari ini. Masak lemak ikan masin kesukaan Abang Mud, Telur Bungkus kesukaan Mak Senah dan Ayam percik kesukaan Humaira. Pasti orang-orang kesayangannya itu akan makan dengan berselera nanti. Ditoleh jam tangan yang menghiasi lengannya yang hitam manis itu, sudah pukul 11.50 pagi. Sekejap lagi Humaira akan pulang. Sekali lagi dia mencapai kunci motor untuk menjemput anaknya dari tadika.
Kak Leha berhenti di seberang jalan, kelihatan kanak-kanak berlarian-larian keluar dari pagar sekolah. Masing-masing tidak sabar-sabar mahu pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, wajah yang ditunggunya muncul. Humaira tersenyum dan melambai-lambainya dari pintu pagar besi tadikanya.
“ Mai tunggu kat situ, biar Ummi pergi dekat Mai.” Kata kak Leha dari seberang jalan.
Namun humaira terlebih dahulu berlari ke arahnya. Sebuah motosikal dari arah bertentangan meluncur laju kearah Humaira. Bum! Satu dentuman kuat tercetus. Masya-Allah, Kak Leha terkedu dan terkaku di situ. Humaira kah yang dilanggar itu, di hadapan matanya sendiri. Dihadapan mata ibu yang mengandungkan, melahirkan, menjaga dan menyayangi Humaira. Dia meluru ke arah Humaira, tubuh kecil itu dirangkulnya. Uniform biru Humaira telah bertukar warna dek dihujani darah merah yang mengalir. Suara Humaira yang lunak yang selalu menjadi halwa telinganya sudah tidak kedengaran lagi. Kedua belah mata bundar Humaira terkatup rapat. Tubuh itu longlai diribaannya. Air mata keibuan Kak Leha mula menerjah deras ke pipinya yang licin. Esak tangisnya sudah tidak tertahan lagi. Ibu mana yang mampu melihat derita yang tercermin di wajah redup anak yang ditatangnya bagai minyak yang penuh.
“ Tolong panggil ambulan..!” pinta Kak Leha kepada salah seorang manusia yang mengerumuninya.
Senja berlabuh. Dan tabir malam mula tersingkap. Kilauannya seakan sirna seketika. Gerimis halus menitis tanpa segan silu lagi seolah turut meratapi pemergian anak itu. Bacaan surah Yassin bergema bersahut-sahutan. Memecah kegelapan dan kesepian senja itu. Mak Senah mengesat pelupuk mata dengan hujung selendangnya. Biarlah dia menahan kepedihan hatinya seketika. Kolam matanya seakan sudah ditimpa kemarau. Kak Leha menoleh jam berkali-kali. Dipandangnya daun pintu tanpa jemu. Kenapa Abang Mud belum pulang-pulang juga. Allahyarhamah anak mereka harus dikebumikan segera. Setiap mata yang memandang turut melimpahkan simpati, hanya itu yang mereka mampu lakukan kerana keluarga itu yang lebih berat memangku derita dan pahit menelan luka.
Abang Mud pulang dengan rasa hampa. Apa yang harus dikatakan kepada Humaira? Baju yang dikirim Humaira sudah kehabisan stok. Sudah tiga pasar raya yang digeledahnya untuk mencari baju itu sehingga tidak sedar waktu Maghrib sudah bertamu. Ingin menelefon ke rumah untuk memberitahu kelewatannya, telefon bimbitnya tertinggal di rumah pula. Selapas solat Maghrib di masjid Sakinah, Abang Mud bergegas memandu kereta untuk pulang ke rumah dengan hati yang walang.
Setengah jam mengharung jalan raya, Abang Mud tiba di rumah. Dilihatnya pintu rumahnya ternganga luas. Tidak seperti selalu. Orang-orang kampung kelihatan berpusu-pusu keluar masuk dari rumahnya. Jantungnya seakan bertambah laju berdegup. Apa dah jadi ni, bisik hatinya. Dia terus keluar dari kereta Proton Saganya. Kak Leha menunggu di pintu dengan wajah yang lesu.
“ Leha, kenapa ni Leha. Apa dah jadi?” soal Abang Mud tercungap-cungap.
Kak Leha tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia hanya menuding jari telunjuknya kearah jenazah Humaira. Abang Mud terus longlai di situ.
“ Tolang angkat menantu aku.” Pinta Mak Senah kepada orang kampung.
Harum kemboja semerbak mewangi di situ. Tanah kuburan kecil itu merah. Semerah luka yang parah berdarah di hati Abang Mud, Kak Leha dan Mak Senah. Siapalah mereka untuk menolak takdir Ilahi. Diterima takdir itu walau dalam payah. Namun cakera memori Abang Mud masih tetap memutarkan saat Humaira memintanya supaya dibelikan baju Doraemon. Patutlah baju itu sudah kehabisan stok. Rupanya tempoh untuk arwah anaknya itu berkelana di bumi Ilahi ini sudah tamat, baju itu bukan untuk arwah anaknya. Perlahan-lahan dibuka telapak tangannya. Masih tergenggam di situ not RM50 yang diberikan arwah kelmarin. Arwah Humaira anak yang baik. Kanvas hidupnya yang putih masih belum tercorak dengan warna-warna kehidupan yang suram. Diusapnya tanah kuburan itu seperti dia pernah mengusap lembut rambut lurus arwah Humaira.
Bersemadilah engkau dengan aman, anakku. Semoga dirimu tenang di sana. Abi dan Ummi sudah meredhakan segalanya. Semoga di sana engkau mendapat pakaian yang sangat indah. Pakaian Doraemon yang pernah hadir dalam hidupmu itu, bukanlah pakaian yang terindah, anakku. Perlahan-perlahan Abang Mud bangun, ditinggalkan pusara itu sendirian, bertemankan dua nisan yang kaku. Hanya pusara itu yang ditinggalkan disitu, bukan ingatannya terhadap arwah Humaira. Tasik kasihnya tidak pernah kering untuk arwah Humaira. Selagi jasadnya menggenggam jiwa, ingatan terhadap arwah Humaira tetap terpahat kukuh di sanubari untuk selamanya.
Hasil nukilan,
Afifah Bt Abdullah @ Abas
PPISMP PML JULAI 09 ( sem 2 ).
untuk subjek BM1-kesusasteraan-Encik Abdullah Musa